Ayat yang sering dijadikan alat oleh golongan Mu’tazilah untuk menjaga kepentingan dan mencapai tujuan mereka serta individu dan kumpulan yang terikut-ikut dengan sikap Mu’tazilah kerana jahil dan tidak meneliti kitab-kitab tafsir muktabar, atau tidak mahu kembali kepada penafsiran para ulamak Salaf as-Soleh, maka mereka dengan mudah menyalah gunakan ayat tersebut sehingga mengkafirkan pemerintah atau mengkafirkan antara satu dengan yang lain. Ayat yang dimaksudkan ialah:
“Dan sesiapa yang tidak berhukum dengan yang telah diturunkan Allah maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir”. – AlQuran, Surah AlMaidah ayat 44
“Barangsiapa yang tidak memutuskan perkara (berhukum) menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim”. – AlQuran, Surah AlMaidah ayat 45
“Barangsiapa yang tidak memutuskan perkara (tidak berhukum) menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik”. – AlQuran, Surah AlMaidah ayat 4
Menurut penafsiran ulamak Salaf as-Soleh tentang ayat di atas, antaranya ialah Ibn Taus rahimahullah bahawa:
“Kufur (Kafir) di ayat ini ialah tidak seperti orang yang kufur kepada para malaikat Allah, kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya.” – Tafsir Ibn Kathir
Menurut At-Thauri dari Ibn Juraij:
“Kufur yang tidak membawa kepada kekafiran.” – Tafsir Ibn Kathir
Diriwayatkan oleh Ibn Jariri, bahawa berkata Waki’ dari Sye’id al-Makki dari Taus:
“Bukanlah kafir yang boleh terkeluar dari millah (agama Islam).” - Ibid
Berkata juga Taus dan 'Ata':
“Kafir yang bukan kafir sebenar, zalim yang bukan zalim yang sebenar dan fasik bukan fasik yang sebenar”. – Ibid
Pada ayat yang seterusnya (sesudah menyebut kafir) disudahi dengan kalimah “Zalim” dan “Fasik”. Ayat-ayat tersebut kesemuanya serupa penafsiran kepada orang-orang kafir. Telah ditetapkan tentang yang demikian di hadith riwayat Muslim dari hadith Al-Baraa. Kerana orang Islam tidak oleh menjadi kafir walaupun melakukan dosa yang besar (Tidak berhukum dengan hukum Allah dianggap berdosa bukan kafir) Oleh sebab itu Imam At-Tabari menjelaskan:
“Yang paling benar dari semua qaul-qaul ini menurutku ialah qaul yang mengatakan: “Ayat ini diturunkan kepada kuffar (orang-orang kafir) dari kalangan ahli al-Kitab”.
Telah dijelaskan oleh para ulama tafsir bahawa dalam ayat ini terdapat dhamir (ganti nama) iaitu: “Sesiapa”, yang bermaksud:
“Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan Allah kerana menolak (tidak beriman dengan) alQuran dan menentang sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam maka ia adalah kafir”. - Ibid
Ungkapan tersebut menjelaskan apabila: "Menolak alQuran (tidak beriman)" dan "Menentang sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi was salam (kerana tidak mengimaninya)". Tetapi jika masih mengimaninya dan yakin akan wajibnya berhukum dengan hukum Allah, maka orang seperti ini dianggap ‘asi yang membawa maksud, “Berdosa (pembuat dosa) atau perlaku Maksiat" dan pembuat/pelaku maksiat tidak boleh dihukum kafir kerana tidak terdapat hukum pengkafirannya dalam Syara. Sesiapa yang menghukum kafir keatas pembuat maksiat maka dia adalah golongan Muktazilah. Keterangan ini dapat difahami melalui penjelasan Ibn Masoud dan al-Hasan:
“Ayat ini am (umum) iaitu diturunkan kepada semua yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, sama ada dari kalangan muslimin, Yahudi atau Kuffar. Adapun (orang Islam) yang mempercayai (mengimani kewajipannya) dan kemudian ia menghalalkan (tidak melaksanakannya) dari berhukum dengan hukum Allah, maka sesiapa yang melakukan seperti itu sedangkan dia percaya dirinya telah melakukan yang haram, maka dia adalah tergolong dari golongan muslim yang fasik (bukan kafir), maka urusannya dikembalikan kepada Allah, jika dikehendaki diazab dan jika dikehendaki diampunkan.” – Ibid
Ramai dari kalangan Ulamak yang berpolitik menyalah gunakan ayat di surah alMaidah ini. Mereka mengeluarkn fatwa tidak masuk syurga atau menghukum kafir pemerintah dan sesiapa sahaja yang bersama (menyokong) pemerintah yang tidak melaksanakan hukum Allah. Malah mereka mengajak marakyat jelata melakukan perbuatan yang diharamkan oleh Syarak iaitu menjatuhkan pemerintah yang dianggap kafir hanya dengan berhujahkan tiga ayat diatas yang disalah tafsir oleh mereka.
Para Ulamak bid'ah amat mudah mengkafirkan pemerintah serta mereka yang menyokong pemerintah, sama ada mereka (para ulamak) itu benar-benar tidak mengetahui larangan syarak terhadap tindakkan mereka atau mereka termasuk dalam kalangan Ulamak Suk atau Ulamak Keji/Jahat/Busuk. Apakah mereka tidak mampu memahami hadith Nabi Muhammad Sallallahu alaihi was salam yang memerintahkan semua umat Islam bersabar terhadap pemimpin mereka selagi peimpin itu bersolat walaupun tidak berhukum dengan hukum Islam?
Petanda Islam yang terakhir pada diri seseorang adalah solatnya bukan melaksanakan (berhukum dengan) hukum syarak walaupun syarak tela mewajibkan berhukum dengan hukum dari AlQuran sehinggalah ke Hari Kiamat. Nabi Muhammad sallallahu alaihi was salam bersabda:
"Dari Abi Umamah al-Bahili, dari Rasulullah sallallahu alaihi was Salam, baginda bersabda: Ikatan-ikatan Islam akan terlepas satu demi satu. Apabila lepas satu ikatan akan diikuti oleh ikatan berikutnya. Ikatan Islam yang pertama kali lepas adalah hukum dan yang terakhir adalah solat." - Hadirth Riwayat Ahmad.
Hadith ini menjelaskan bahawa petanda Islam yang terakhir bukan menjalankan hukum walaupun ia telah diwajibkan, tetapi yang paling besar adalah solat. Hadith ini lebih mudah difahami apabila dikaitkan dengan hadith seterusnya, iaitu Hadith dari Anas bin Malik yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa:
“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah menyerang musuh diwaktu fajar apabila hampir terbit siang, sambil mendengar-dengar suara azan, maka jika baginda mendengar azan, baginda tidak menyerangnya tetapi jika tidak mendengarnya baginda menyerangnya.”
Imam Nawawi rahimahullah mensyarahkan hadis ini:
“Dalam hadith ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa suara azan (tanda bersolat) boleh menahan serangan kepada para penduduknya kerana itu tanda keIslaman pada pemerintah mereka.”
Hadith diatas ini serta penjelasannya dari Imam an-Nawawi rahimahullah menunjukkan tidak boleh diaibkan, dikutuk, dicela, diserang, dikafirkan dan dijatuhkan sebuah negara selagi pemerintahnya masih Islam, iaitu antara tanda-tandanya ialah solatnya, tetapi yang wajib dilakukan oleh Ulamak ialah menasihati para Pemimpin negara tersbut. Rasulullah bersabda:
“Agama itu nasihat. Kami bertanya: Untuk siapa ya Rasulullah? Baginda menjawab: Untuk Allah, untuk KitabNya, untuk RasulNya, untuk pemimpin muslimin dan kaum muslimin yang umum (awam).” – Hadith Riwayat Muslim
Menurut ulama Salaf as-Soleh yang bersandarkan kepada dalil-dalil syara, bahawa orang yang suka menghukum masuk neraka dan mengkafirkan pemerintah, mengkafirkan penyokong pemerintah tersebut dan mengkafirkan orang-orang yang melakukan dosa besar, kerana mereka (yang mudah mengkafirkan seperti itu) adalah golongan Khawarij dan Muktazilah.
Para Ulama Salaf as-Soleh tidak mengizinkan menentang atau mengkafirkan pemerintah Islam. Mereka berwasiat, jika terdapat pemerintah Islam melakukan kezaliman, sewajarnya dinasihati bukan dihancurkan, ditumbang, dicerca, difitnah atau dihukum fasik, zalim atau kafir. Kerana Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah bersabda:
“Tiga perkara yang tidak akan membuat hati kaum muslimin merasa dengki: Ikhlas beramal kerana Allah. Saling memberi nasihat kepada pemimpin negara (yang muslim), sentiasa bersatu dengan jamaah (yang dipimpin oleh para pemimpin Islam) kerana sesungguhnya doa-doa mereka meliputi sesiapa sahaja di belakang mereka.” – Hadith Riwayat Bukhari
“Jangan kamu memaki hamun para pemimpin kamu, janganlah kamu dengki kepada mereka dan janganlah kamu membenci para pemimpin kamu. Bertakwalah kamu kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya perkaranya (bertakwa dan bersabar) adalah dekat.” – Hadith diriwayatkan oleh Ibn Abi ‘Asim. Disohihkan oleh Nasruddin al-Albani.
“Selepas (peninggalanku) ini kamu akan diperintah oleh pemerintah demi pemerintah. Ada pemerintah yang baik maka dia akan memerintah dengan kebaikan yang ada padanya. Ada pemerintah yang zalim (fajir) maka dia memerintah dengan keburukan/kezaliman yang ada padanya. Patuhilah perintah/perkara yang bersesuaian dengan kebenaran. Jika mereka melakukan kebaikan maka faedahnya untuk kamu dan juga mereka melakukan keburukan maka kamu mendapat pahala (kerana tindakan mereka) dan mereka mendapat dosa diatas perbuatan mereka.” – Al-Ahkam Sultaniyah.
“Sesungguhnya kamu sekalian akan menyaksikan setelahku penghambaan dan berbagai permasalahan yang kami ingkari (tidak senangi). Mereka (para sahabat) bertanya: Maka apa yang engkau perintahkan kepada kami wahai Rasulullah!? Baginda bersabda: Tunaikan kepada para penguasa (pemimpin/pemerintah) hak-hak mereka dan mintalah hak-hak kamu kepada Allah.” – Hadith Riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim, Turmizi dari jalur al-A’masy dari Zaid bin Wahab dari Ibnu Masoud.
Para fukaha (para ulamak fekeh) Baghdad yang berada di bawah kekuasaan al-Wasiq, berkumpul bersama Abi Abdillah (Imam Ahmad bin Hambal), mereka menceritakan kepadanya tentang fitnah yang ditimbulkan pemerintah bahawa alQuran adalah makhluk (Menurut kesepakatan para Ulamak Salaf as-Soleh, bahawa alQuran itu Kalamullah, bukannya makhluk). Keadaannya telah serius dan tersebar dengan luas sekali, maka mereka berkata: Kami tidak redha terhadap kekuasaan dan kepimpinan al-Wasiq. Imam Ahmad setelah berbincang terus mengatakan:
“Wajib bagi kamu untuk mengingkari dengan hati, janganlah keluar dari ketaatan kepadanya, jangan memecah-belah barisan Muslimin, dan jangan menumpahkan darah kamu dan darah kaum Muslimin. Fikirkanlah akhir dari perkara ini, bersabarlah sehingga orang yang baik boleh tenang dan orang-orang jahat berhenti melakukan hal itu. Beliau menambah: Bahawa keluar dari ketaatan adalah tidak benar dan menyalahi Sunnah.” - As-Sunnah
“Setiap Muslim wajib mendengar dan taat dalam perkara yang disukai mahupun dibenci. Tetapi apabila diperintahkan dalam hal kemaksiatan. Maka tidak boleh mendengar dan taat.” - Hadis Riwayat Muslim, Tirmizi, dan Ibn Majah dari jalur Laits bin Sa’ad dari Ubaidillah al-Umari dari Nafi’ dari Ibnu Umar.
Dalam penjelasan ini, nyatalah bahawa perbuatan menghina, memfitnah dan mengkafirkan ketua-ketua negara Islam seperti Raja-Raja, Perdana Menteri dan para pemimpin yang beragama Islam sebagai perbuatan keji, mungkar, haram dan Bid’ah.
Rujukan: Sikap Ahli Sunnah Wal-Jamaah Terhadap Pemerintah dan Pemimpin Islam














